Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 50 pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 2024 diraikan dalam majlis penghargaan yang berlangsung pagi tadi di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin. Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti Doa Selamat.
Yang Berhormat Dato kemudian berkenan menyampaikan sijil perkhidmatan dan cenderahati kepada para pesara sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan bakti mereka sepanjang berkhidmat di kementerian dan jabatan berkaitan.
Majlis seumpama itu bertujuan meraikan para pesara serta menghargai dedikasi mereka dalam menyumbang kepada perkhidmatan awam sepanjang tempoh perkhidmatan.




