Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 peserta agriperniagaan terima sijil pencapaian

    Oleh Pg Fairol RMF

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Seramai 50 orang peserta daripada agriperniagaan di sektor awam dan swasta telah menerima sijil pencapaian pada Majlis Penutup Rasmi Bengkel mengenai Memudahkan Pembangunan Agriperniagaan di Brunei Darussalam ke-2 di Pusat Perniagaan Hortikultur, Rimba, hari ini.

    Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Bengkel tiga hari, bermula 30 Januari lalu itu, dilaksanakan dengan sokongan kewangan Majlis Australia-ASEAN, usaha sama pasukan pakar-pakar dari University of Western Australia dan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP.

    Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum semasa berucap di majlis itu berkata, Suruhanjaya Tinggi Australia sangat komited bagi meningkatkan kesedaran, memahami dan menyatukan antara orang ramai dan institusi-institusi Australia dan ASEAN melalui sokongan projek seumpamanya.

    “Saya difahamkan daripada Profesor Peter Batt bahawa bengkel empat hari itu telah banyak membincangkan mengenai bagaimana Brunei dapat meningkatkan penghasilan dan potensi eksport dalam pertanian.

    Dr. Haji Abdul Manaf dan Nicola Rosenblum hadir pada majlis penutup rasmi bengkel tersebut di Pusat Perniagaan Hortikultur, Rimba.
    Dr. Haji Abdul Manaf dan Nicola Rosenblum hadir pada majlis penutup rasmi bengkel tersebut di Pusat Perniagaan Hortikultur, Rimba.
    Dr. Haji Abdul Manaf  ketika menyampaikan sijil bengkel kepada salah seorang penerima.
    Dr. Haji Abdul Manaf ketika menyampaikan sijil bengkel kepada salah seorang penerima.

    “Ini termasuk eksploitasi rantaian nilai, model perniagaan berdasarkan keadaan tempatan dan keberkesanan penggunaan pemantauan dan alat penilaian,” ujarnya.

    Beliau turut menggalakkan para peserta untuk menggunakan pengetahuan dan alat yang disalurkan oleh Profesor Peter Batt, Dr Nazrul Islam dan Dr. Amin Murgera.

    Semasa bengkel, para peserta meneroka bagaimana memperkukuhkan potensi eksport Brunei dan meningkatkan sumbangan sektor agriperniagaan kepada KDNK kebangsaan dengan panduan kumpulan pakar dari University of Western Australia, Profesor Peter Batt, Dr. Nazrul Islam dan Dr. Amin Mugera.

    Sesi termasuk bagaimana mengeksploitasi konsep rantaian nilai, model perniagaan terbaik bagi Brunei dan bagaimana memantau serta menilai prestasi rantaian.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Profesor Peter Batt dipetik sebagai berkata, “meneroka konsep rantaian nilai telah menyedarkan para peserta memahami bagaimana faktor luaran mempunyai kesan secara langsung kepada prestasi perniagaan sama ada pasaran domestik dan eksport.

    “Semua orang menyedari bahawa Brunei tidak boleh menjadi pengeluar kos rendah, ia seharusnya berbeza dan perlu menjadi pesaing-pesaing antarabangsa, petani tempatan memerlukan akses kepada teknologi terbaik di dunia. Ini boleh dicapai melalui pencarian yang inovatif bagi kerajaan dan swasta untuk menghasilkan pelaburan bersama,” tambahnya.

    Dr. Haji Abdul Manaf telah menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Australia kerana membantu pembangunan sektor agriperniagaan tempatan melalui bengkel berkenaan di mana ahli-ahli akademik Australia telah membuat sumbangan berharga kepada sektor dan membantu membangunkan kapasiti Brunei bagi meningkatkan pengeksportan Brunei yang berpotensi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda