BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – BD Creative Centre, salah satu penganjur utama untuk kelestarian alam sekitar, pagi tadi telah mengadakan acara pembersihan pantai tahunan di Pantai Muara.
Acara tersebut yang bertepatan dengan Hari Alam Sekitar Sedunia, menyaksikan penyertaan lebih 50 peserta yang mengambil bahagian untuk sama-sama membantu menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Operasi BD Creative Centre, Syed Mohd Halawi Borhan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan untuk mengekalkan ekosistem di negara ini untuk kehidupan yang lebih mampan, sambil menekankan tanggungjawab yang harus digalas demi kepentingan generasi masa depan.
Sejajar dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, Tanah Kita, Masa Depan Kita, para peserta memulakan aktiviti pembersihan pantai berkenaan dengan dengan penuh semangat, mengutip dan mengumpul sampah sarap dan serpihan yang ada di sepanjang pantai tersebut.
Pada akhir acara, para peserta berjaya mengutip sejumlah 95kg sampah secara keseluruhan.
“Saya sangat bangga dengan usaha kolektif yang ditunjukkan hari ini. Pembersihan pantai kami tidak hanya menjadi bukti kepada komitmen kami terhadap pemeliharaan alam sekitar tetapi juga menguatkan kuasa tindakan komuniti dalam mencipta perubahan positif,” ujar Syed Mohd Halawi Borhan.
Sampah yang telah berjaya dikumpulkan akan dikendalikan oleh pihak berkuasa untuk pengurusan sisa yang betul, memastikan ia dibuang secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan alam sekitar.
BD Creative Centre turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan, dan rakan kongsi yang terlibat sepanjang acara tersebut. Melalui usaha kerjasama yang berterusan, pihak BD Creative Centre juga berharap acara seumpama itu akan dapat menjamin alam sekitar yang lebih bersih dan lebih sihat untuk generasi akan datang.
