Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Bengkel selama tiga hari bagi membentuk Pelan Respons Bencana Inventori Peringkat Kebangsaan (NIDRP) telah bermula kelmarin di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), sebagai inisiatif terbaharu memperkukuhkan keupayaan pengurusan bencana di Negara Brunei Darussalam.
Bengkel anjuran Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) itu menghimpunkan kira-kira 50 orang peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkepentingan dalam pengurusan bencana. Ia juga termasuk alumni Bengkel Pelan Kerjasama Tindak Balas Kecemasan (AJDRP) dan Kursus Induksi Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ASEAN-ERAT).
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.
Dalam ucapan beliau menekankan keperluan kepada pengurusan sumber dan aset yang sistematik dan efisien dalam menangani bencana serta kecemasan negara.
“Pengurusan dan pengurangan risiko bencana merupakan isu rentas sektor yang menuntut kerjasama menyeluruh daripada semua pihak kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat. Bengkel ini merupakan langkah penting ke arah usaha bersepadu itu,” ujar beliau.
NIDRP merupakan dokumen panduan utama yang akan memperincikan sumber tenaga manusia pakar serta aset dan kelengkapan daripada pelbagai sektor yang boleh digerakkan dalam menghadapi sebarang bentuk bencana. Ia akan menjadi dokumen hidup yang sentiasa dikemas kini agar kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
Sepanjang bengkel, para peserta akan mengikuti taklimat serta aktiviti praktikal melibatkan pengumpulan data sumber, perbincangan kumpulan dan pembentangan hasil dapatan, yang menyasarkan peningkatan kecekapan dalam koordinasi antara sektor kerajaan dan bukan kerajaan.
Inisiatif itu juga seiring dengan semangat kerjasama serantau di bawah pendekatan One ASEAN, One Response, di mana data dan dapatan daripada NIDRP akan dikongsi bersama Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), sekali gus menyokong usaha penyelarasan pelan AJDRP serta memperkukuh kesiapsiagaan Brunei Darussalam dalam penglibatan serantau.
Dengan pelaksanaan bengkel ini, Brunei terus menunjukkan komitmen dalam membina daya tahan negara terhadap bencana melalui perancangan strategik, pengumpulan maklumat sistematik dan sinergi pelbagai pihak demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.