50 premis dikesan tiada sijil halal, 9 mansuh

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Bahagian Kawalan Makanan Halal

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Sebanyak 50 buah premis makanan belum membuat permohonan Sijil Halal atau Permit Halal manakala sembilan buah lagi premis mempamerkan sijil yang mansuh dan diberikan Notis Arahan.

Dalam rondaan yang dijalankan sekitar kawasan Kiulap, Bandar Seri Begawan kelmarin, sebanyak 137 buah premis pengusaha makanan dikunjungi oleh penguat kuasa dari Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Rondaan dibuat bagi menguatkuasakan undang-undang mengenai kewajipan mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi pengusaha-pengusaha makanan di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, bahawa berdasarkan Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017, sesiapa yang memiliki suatu perniagaan menyediakan makanan ataupun kemudahan pemprosesan makanan di Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki untuk membuat permohonan mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal.

Rondaan sebelum ini yang telah dijalankan di Pusat Bandar mendapati 43 buah premis pengusaha makanan belum membuat permohonan. Sehubungan itu, KHEU ingin mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha makanan bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal adalah mandatori.

Kegagalan membuat permohonan adalah menjadi kesalahan dan jika sabit boleh dikenakan denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun menurut Bab 4 (5) dan Bab 10 (6), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017.

Salah seorang penguat kuasa membuat catatan ketika rondaan di salah sebuah premis perniagaan makanan di Kiulap.