Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Dalam meningkatkan pengetahuan saudara baharu mengenai kitab suci Al-Quran, seramai 50 orang mualaf baru-baru ini telah menyertai kelas malam Al-Quran yang telah diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie.
Kelas tersebut merupakan inisiatif Belia Mualaf As-Syahadah dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah dan juga Nadi Al-Quran.
Bagi kelas tersebut, Nadi Al-Quran telahpun menaja kesemua para mualaf dengan alat-alat untuk belajar dan juga menyediakan kelengkapan yang diperlukan oleh para guru untuk mengajar.

Kelas ini telahpun diadakan setiap malam hari Rabu dan para pelajar akan diberikan peluang untuk belajar modul-modul yang diterapkan dalam sama-sama meningkatkan lagi tahap pembacaan dan pemahaman mereka untuk mempelajari dan membaca Al-Quran dalam kehidupan mereka seharian.
Kelas Al-Quran ini diadakan secara berperingkat-peringkat yang mana modul pertama adalah asas Tamhid.
Manakala, pelancaran kelas Al-Quran ini akan diadakan secara rasminya bermula esok.