Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 29 Mac – Kira-kira 50 orang telah menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Pertama bagi Balai Bomba Seria Cawangan Operasi B Daerah Belait yang berlangsung di Surau Balai Bomba Seria, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Mohd Said.
Majlis tersebut diadakan bersempena memperingati Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-58 yang diraikan setiap 9 Mac.
Peringkat kedua Majlis Khatam Al-Quran itu nanti akan diadakan bersempena menyemarakkan suasana bulan Ramadan yang akan datang seterusnya peringkat ketiga akan diadakan bagi memperingati Balai Bomba Seria beroperasi selama 41 tahun pada November nanti.
Stesen Komander Balai Bomba Seria, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali bin Hassan, selaku Pengerusi majlis tersebut memberitahu, majlis tersebut diadakan sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, di samping untuk menarik minat semua peringkat anggota untuk mendekati Al-Quran serta untuk mengimarahkan lagi Surau Balai Bomba Seria.

“Alhamdulillah, sejak tahun 2017 sehingga ke hari ini, surau balai bomba ini diimarahkan dengan mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah setiap malam Jumaat diteruskan dengan membaca Surah Yasin dan Doa Arwah,” katanya.
Majlis khatam berkenaan diteruskan dengan penyampaian wakaf berupa alat kelengkapan jenazah untuk kegunaan Surau Balai Bomba Seria dan bagi keperluan Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Lorong Tiga Seria selain itu, kerusi roda juga disumbangkan untuk keperluan khas ibu tunggal yang tinggal di STKRJ Lorong Tiga Seria.
Sumbangan berkenaan adalah daripada semua peringkat pegawai, anggota dan kakitangan serta ahli keluarga anggota Balai Bomba Seria.
Penyampaian sumbangan wakaf kepada penerima-penerima telah disempurnakan oleh Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin.