BANDAR SERI BEGAWAN, 7 ARPIL – Lebih 50 orang pelajar telah menyertai klinik penulisan curriculum vitae (CV) di Pusat Komunikasi Pemasaran Perniagaan, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), baru-baru ini.
Klinik penulisan yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) itu telah dibimbing oleh Konsultan Perekrutan Grominda Group, Anthony Sigar.
Klinik penulisan tersebut disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Politeknik Brunei (PB) dan Kolej Cosmopolitan.
Semasa klinik penulisan tersebut, para peserta didedahkan dengan asas-asas dan teknik penting dalam menyediakan CV yang berkesan dan ringkas, serta menggariskan maklumat-maklumat penting yang dicari oleh para majikan. Di antara topik-topik yang dibincangkan di dalam klinik tersebut termasuk Basic Structure of a CV, What kind of Skills? dan How to Make an Impression.
Klinik tersebut merupakan salah satu inisiatif Program Enrichment BILIF untuk mendukung usaha dalam membantu menangani pengangguran di Negara Brunei Darussalam dengan meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran peserta dalam menarik perhatian diri masing-masing kepada bakal majikan.
