50 sertai program perkhemahan Ukhuwah Islamiyyah

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 15 SEPT – Seramai 50 orang mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menyertai Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyyah yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini, di Kampung Selapon, Daerah Temburong.

Program anjuran KUPU SB melalui Kelab Fikrah, Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI) cawangan Daerah Temburong itu diisi dengan aktiviti-aktiviti keagamaan yang juga akan melibatkan penyertaan penduduk kampung.

Aktiviti-aktiviti termasuk bengkel amali agama, praktikal wuduk dan solat serta menghalusi bacaan Surah Al-Fatihah, tazkirah berkaitan kemantapan akidah, sahsiah Muslim dan kepentingan ukhuwah selain kegiatan dakwah ke rumah-rumah yang telah ditentukan serta khidmat masyarakat.

Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis perasmian program tersebut di Pos Dakwah Kampung Selapon Daerah Temburong ialah Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha. Turut hadir ialah para pensyarah dan pelajar-pelajar KUPU SB.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Haji Abang Hadzmin berkata bahawa dakwah sebagai mekanisme penyebaran Islam berperanan menyampaikan Islam daripada satu generasi kepada satu generasi hingga ke akhir zaman.

“Allah sangat memuji orang-orang yang berdakwah, sebagai manusia yang berbicara dengan sebaik-baik perbicaraan,” ujarnya.

Dengan tema ‘Ukhuwah Penjana Negara Zikir’, program diadakan antara lain sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa perasmian Majlis IImu sempena Hari Keputeraan Baginda pada 2011 di mana Baginda menyarankan supaya para intelek dan guru mengatur langkah ke kampung-kampung, balai, surau,masjid, dewan dan rumah untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan memberi motivasi kepada penduduk supaya berilmu.

Selain itu, ia juga merupakan usaha untuk memperkenalkan KUPU SB ke mata masyarakat selain memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berdepan dengan masyarakat serta menanai konsep Amar Makruf Nahi Mungkar serta sikap tolong menolong ke arah kebajikan dan ketakwaan.

Program perkhemahan tersebut telah dianjurkan sejak tahun 2011 denganberkonsepkan 3 ‘S’ iaitu Syiar, Salam dan Silaturahim, antaranya sebagai menanaitanggungjawab sebagai individu Muslim untuk mengerat ukhuwah Islamiah bersama penduduk kampung.

Sesi bergambar ramai para peserta Program Perkhemahan Ukhuwah Islamiyyah, di Kampung Selapon, Daerah Temburong.
Aktiviti-aktiviti keagamaan yang juga melibatkan penyertaan daripada penduduk kampung.