Monday, September 16, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 syarikat tempatan sertai Program Restoran Sihat 2.0

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT- Sebanyak 50 syarikat makanan dan minuman tempatan yang terdiri daripada restoran, kafe dan vendor makanan serta minuman lain telah menghadiri sesi pembarigaan bagi garis pandu yang dikemas kini untuk inisiatif Program Restoran Sihat 2.0 yang ditujukan kepada syarikat-syarikat makanan dan minuman yang berlangsung di Ruang Atrium, Pusat Promosi Kesihatan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara anjuran Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Syarikat AuraHealth itu ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Mohd Yussof.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Dr Siti Rosemawati.

    Sesi itu diteruskan dengan pembentangan Garis Panduan Program Restoran Sihat 2.0 oleh Pengasas Syarikat AuraHealth, Dayang Nurulsyahirah binti Awang Marshidi kepada syarikat-syarikat makanan dan minuman yang hadir.

    Pembentangan tersebut diikuti dengan sesi soal jawab dan pameran mini dari Syarikat AuraHealth. Setiap tetamu yang hadir diberikan buku panduan bercetak Garis Panduan Program Restoran Sihat 2.0 untuk rujukan dan pembacaan mereka.

    Dr Siti Rosemawati menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Program itu telah dijalankan selama 10 tahun dan menghasilkan garis panduan dengan maklum balas dari 20 buah syarikat makanan dan minuman yang pernah menyertai program tersebut. Ia bertujuan untuk memudahkan pengenalan mana-mana restoran yang ada menyediakan makanan-makanan yang lebih sihat melalui penggunaan Penunjuk Pilihan Lebih Sihat.

    Ia boleh didapati di dalam menu yang mengandungi kalori lebih rendah, rendah gula atau tanpa gula tambahan, kurang sodium, tinggi bijirin penuh dan penggunaan minyak masak yang lebih sihat.

    Program itu juga bertujuan untuk memudahkan pengguna dalam mengakses makanan dan minuman yang lebih sihat, serta membantu perniagaan dalam meningkatkan penyediaannya.

    Dengan jumlah restoran, kafe dan vendor makanan dan minuman yang semakin meningkat, adalah penting bagi Pusat Promosi Kesihatan untuk bekerjasama dalam menyediakan pilihan yang lebih sihat.

    Dengan sesi pembarigaan dan program itu, Kementerian Kesihatan mengharapkan syarikat-syarikat makanan dan minuman akan menyokong dan ikut serta dalam program itu untuk memastikan bahawa akses dan ketersediaan makanan dan minuman yang lebih sihat dapat diperbaiki dalam persekitaran makanan tempatan kita agar pilihan yang lebih sihat menjadi pilihan yang lebih mudah apabila makan di luar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda