SIRI 2
RENCANA ini merupakan bahagian kedua mengenai 50 tahun matawang Negara Brunei Darussalam, di mana bahagian pertama telah diterbitkan di Media Permata pada Hari Isnin, 19 Jun 2017. Lembaga Matawang Brunei (BCB) mula memperkenalkan matawang polimer pada tahun 1996, dalam denominasi BND 1, BND 5 dan BND 10.
Tema utama bagi bahagian belakang matawang tersebut adalah hutan hujan tropika atau tropical rainforest. Matawang polimer ini mengandungi ciri-ciri keselamatan yang menjadikannya lebih sukar untuk dipalsukan berbanding dengan matawang kertas.
Secara umum, substrat polimer adalah lebih bersih dan tahan lama, dan dalam pada itu denominasi yang lebih kecil diperkenalkan terlebih dahulu, mengambil kira ianya sering digunakan. Dua matawang kertas baru dalam denominasi BND 50 dan BND 100 juga diperkenalkan pada separuh akhir tahun 1996.
BCB, telah mengeluarkan matawang kertas BND500 yang baru pada tahun 2000 dengan memaparkan Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja di bahagian belakang.
Pada Februari 2001, BCB telah berpindah dari Bangunan Sekretariat, Bandar Seri Begawan ke lokasi sekarang, di Commonwealth Drive. Dengan mempunyai kemudahan mengilang duit syiling di premis baru ini, BCB mula membuat duit syiling sendiri untuk edaran pada 1 Mei 2001.
Pada 1 Februari 2004, BCB telah dinamakan sebagai Lembaga Mawatang dan Monetari Brunei (BCMB).
Berikutan dengan maklum balas dan pengalaman positif dari orang ramai mengenai dengan matawang polimer pada tahun 1996, BCMB mula memperkenalkan matawang polimer berdenominasi tinggi. Pada tahun 2004, matawang polimer BND50 dan BND100 dikeluarkan untuk edaran.
Bahagian belakang matawang ini memaparkan reka bentuk bertemakan alam semula jadi, selaras dengan tema siri matawang polimer pertama bagi denominasi BND 1, BND 5 dan BND 10.
Matawang polimer BND 100 ini telah memenangi hadiah emas di 22nd National Australian Printing Awards, Sydney, Australia pada tahun 2005, di mana kesemua matawang telah dinilai berdasarkan kepada ciri keselamatan, reka bentuk dan kualiti percetakan masing-masing.
Pada tahun 2006, BCMB memperkenalkan lagi dua matawang polimer baru untuk edaran dalam denominasi BND 500 dan BND 10,000. Di bahagian hadapan matawang polimer BND 500 memaparkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Sultan Muhammad Jamalul Alam II, dan di bahagian belakang memaparkan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien dan bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bagi matawang polimer BND 10,000 pula, bahagian hadapan memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan bangunan Majlis Mesyuarat Negara dipaparkan di bahagian belakang.
Matawang polimer BND 500 dan BND 10,000 ini juga telah, masing-masing, memenangi hadiah perak dan emas di 24th National Australian Printing Awards di Sydney, Australia pada tahun 2007.
Pada 12 Jun 2007, Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah menyambut ulangtahun ke-40 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang. Perjanjian ini menyokong hubungan persahabatan dan kepercayaan di antara kedua-dua negara, dan untuk memperingati peristiwa penting ini, BCMB dan Monetary Authority of Singapore (MAS) telah sama-sama mengeluarkan matawang kenang-kenangan polimer BND 20 dan SGD 20.
Kedua-dua matawang Brunei dan Singapura $20 ini memaparkan reka bentuk yang sama di bahagian belakang bagi melambangkan ikatan dan hubungan harmoni di antara kedua-dua negara.
Di bahagian hadapan pula, reka bentuk matawang Negara Brunei Darussalam memaparkan Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ipomoea Pescapre (Tapak Kuda Laut), satu tumbuhan perubatan berbunga ungu, yang terdapat di sepanjang pantai-pantai di Negara Brunei Darussalam.
Tumbuhan yang panjang dan berdaya tahan lama ini telah dipilih bagi melambangkan Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mawatang yang telah bertahan sehingga hari ini.
Tahun ini, pada 12 Jun 2017, adalah ulang tahun ke-50 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Pada tahun yang sama, BCMB juga telah mengeluarkan matawang polimer BND 1,000 yang baru untuk edaran, dengan memaparkan bangunan Kementerian Kewangan di bahagian belakang.
Dengan pengeluaran ini, ianya menandakan penukaran penuh dari matawang kertas kepada siri polimer untuk semua denominasi matawang yang digunakan di Negara Brunei Darussalam. Perkembangan ini menjadikan Negara Brunei Darussalam salah satu daripada beberapa negara di seluruh dunia yang telah menukar kesemua denominasi matawang dan kertas kepada polimer.
Pada 1 Januari 2011, tiga bahagian di bawah Kementerian Kewangan – Bahagian Institusi Kewangan, Lembaga Matawang dan Monetari Brunei, Pusat Kewangan Antarabangsa Brunei dan sebahagian daripada Bahagian Penyelidikan dan Antarabangsa – dicantumkan untuk menjadi Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), termasuk BCMB.
AMBD mula memperkenalkan dan mengedarkan siri matawang polimer baru bagi denominasi BND 1, BND 5 dan BND 10 dengan potret dan rekabentuk baru.
Di bahagian belakang, matawang ini memaparkan mercu tanda utama Negara Brunei Darussalam, termasuk Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bangunan Lapau, dan Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.
Pengeluaran matawang yang terkini adalah pada tahun 2013, di mana matawang polimer BND 1 dan BND 10 dari siri 2011 telah dicetak semula dengan kualiti Tactile Braille yang lebih baik. AMBD juga telah mencetak semula matawang polimer BND 100 dari siri keluaran tahun 2004, dan BND 500 dari siri keluaran tahun 2006, selaras dengan pertukaran teknologi percetakan daripada analog ke digital.
AMBD terus mengeluarkan matawang dan duit syiling kenang-kenangan bersempena dengan acara-acara khas negara, yang juga ada dipamerkan di Galeri Matawang AMBD.
Galeri ini dibuka sejak Januari 2006 di Bangunan BCMB, Kompleks Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang, kecuali pada hari Juma’at dari jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi dan 3.00 petang hingga 4.00 petang.
Rencana ini disediakan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam
Foto Kredit: Galeri Matawang AMBD