Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    50 terbunuh di Congo

    GOMA, 14 APRIL – Menurut pihak berkuasa pada Sabtu, kira-kira 50 orang terkorban dalam serangan yang berlaku hujung minggu lalu di timur Congo yang dilanda konflik.

    Pihak kerajaan dan kumpulan pemberontak yang disokong Rwanda saling tuduh menuduh berhubung pihak yang bertanggungjawab dalam insiden keganasan tersebut, yang sekali lagi mencetuskan ketegangan dan konflik di wilayah itu.

    Kekerasan yang dilaporkan penduduk di dalam dan sekitar bandar terbesar di wilayah itu, Goma yang kini berada di bawah kawalan pemberontak M23 dilihat sebagai ancaman terbesar terhadap usaha perdamaian yang sedang diusahakan oleh negara Teluk Arab Qatar dan beberapa negara Afrika, dalam konflik yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya peperangan serantau.

    Penduduk Goma, Amboma Safari, menceritakan bagaimana keluarganya yang terdiri daripada empat orang menghabiskan malam di bawah katil sambil mendengar bunyi tembakan dan letupan bom sepanjang malam Jumaat. “Kami melihat mayat tentera, tetapi kami tidak tahu daripada kumpulan mana.” kata Safari.

    Di bandar kedua, Bukavu, yang juga dikuasai oleh M23, berpuluh-puluh anggota militia tempatan Wazalendo yang bersenjata yang bertempur bersama pasukan Congo berarak selama beberapa jam ke arah lapangan terbang tempatan seolah-olah menunjukkan cabaran terhadap pemberontak.

    Kumpulan tersebut, yang kemudian berundur, mengisytiharkan gencatan senjata pada Ahad untuk memberi peluang kepada rundingan perdamaian yang sedang berjalan.

    Konflik selama beberapa dekad antara Congo dan pemberontak M23 telah meningkat sejak Januari lalu.

    Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri Congo berkata, 52 orang telah terkorban antara Jumaat dan Sabtu, termasuk seorang yang ditembak mati di Hospital Kyeshero Goma. Kementerian itu sepenuhnya menyalahkan serangan itu ke atas M23. – AP

    : Pemberontak M23 membuat rondaan di jalanan Goma, Republik Demokratik Congo, 29 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda