Oleh Sim Y.H. –
TUTONG, 23 MEI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 500 orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), terdiri daripada anggota yang masih berkhidmat dan yang sudah bersara telah dikurniakan Pingat Kerja Lama dan Perangai Baik (Tentera) dalam majlis penyampaian pingat yang berlangsung di Dewan Nikmat, Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, hari ini.
Upacara penyampaian pingat berkenaan telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Para penerima pingat terdiri daripada 156 orang anggota Tentera Darat Diraja Brunei, 91 orang anggota Tentera Laut Diraja Brunei, 102 orang anggota Tentera Udara Diraja Brunei dan 151 orang anggota daripada pelbagai unit di dalam ABDB.
Pengurniaan pingat berkenaan merupakan satu tanda pengiktirafan yang bermakna atas khidmat bakti yang setia, kelakuan yang terpuji serta komitmen tinggi yang telah dipamerkan oleh para penerima pada sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Dedikasi dan profesionalisme yang ditonjolkan oleh mereka mencerminkan nilai-nilai teras ABDB dan menjadi contoh teladan yang baik bagi seluruh anggota ABDB.
Upacara itu turut mengetengahkan sumbangan signifikan mereka dalam mendukung kecemerlangan dan menyemai semangat tanggungjawab demi mempertahankan kedaulatan negara.