Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Warisan budaya Tamil yang penuh warna-warni kembali diserlahkan menerusi Program Budaya Tamil 2025 anjuran Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) yang berlangsung meriah di Tarindak D’Seni, baru-baru ini.
Acara tahunan itu berjaya menghimpunkan lebih 500 orang daripada komuniti India di Brunei, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan menerusi seni, muzik dan tarian kebudayaan Tamil yang memukau dan penuh warna-warni.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti oleh Lagu Kebangsaan India serta lagu Tamil sebagai penghormatan kepada kedua-dua negara dan warisan budaya Tamil.
Pengerusi Program Budaya Tamil, N Murugesan, dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan terima kasih kepada semua barisan eksekutif persatuan, tetamu khas dan para ahli jawatankuasa yang telah bersama-sama menjayakan program tersebut.
Sementara itu, Presiden BSBIA, Sujaya Kamat dalam ucapan perasmiannya, menekankan kepentingan meraikan dan memelihara budaya India, serta menyeru agar kepelbagaian budaya dihargai sebagai asas memperkukuh keharmonian dalam komuniti.

Acara diteruskan dengan persembahan tarian pembukaan yang bertenaga dan penuh semangat, mempamerkan kekayaan warisan budaya Tamil termasuk pelbagai tarian menarik oleh kanak-kanak dan warga dewasa, serta nyanyian vokal yang mempesona daripada ahli-ahli senior persatuan yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Majlis diakhiri dengan ucapan penghargaan oleh Setiausaha BSBIA, Lal Mohamed, yang menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan acara berkenaan, termasuk para penganjur, peserta berbakat serta penonton yang memberi sokongan padu.
Sebagai penutup tirai, para hadirin dijamu dengan santapan malam yang lazat disediakan oleh restoran Tarindak D’Seni, menambahkan lagi kemeriahan malam penuh budaya dan silaturahim tersebut.
Semua di atas: Antara persembahan pada malam kebudayaan berkenaan.