Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Bagi menyedia peluang keusahawanan untuk ibu-ibu tunggal sepanjang bulan Ramadan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) bersama-sama dengan Society for Community Outreach and Training (SCOT) melaksanakan inisiatif Dapur Sosial Masyarakat yang menyediakan hidangan iftar kepada masyarakat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, di sini, inisiatif itu disokong oleh kumpulan sukarelawan berdedikasi termasuk doktor, jururawat dan kakitangan dari JPMC yang bermatlamat menyebarkan kebaikan dan menyediakan juadah kepada mereka yang memerlukan dengan harapan memberikan kesan positif dalam masyarakat.
Inisiatif selama dua hari itu bermula pada 19 hingga 20 Mac yang berlangsung di Social Kitchen Table, Kiulap di mana ia menyaksikan lebih 60 orang sukarelawan JPMC bekerjasama dengan ahli-ahli SCOT dan usahawan ibu tunggal untuk menyediakan, membungkus serta mengagih-agihkan 500 hidangan kepada keluarga-keluarga kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara iaitu di Sungai Akar, Kampung Subok dan Jalan Sentosa.
Pengagihan hidangan berkenaan telah diketuai oleh Ketua Pegawai Perubatan JPMC, Dr Meera Sahib Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kewangan JPMC, Bun Pei Ling.
Mereka disertai oleh pihak pengurusan kanan JPMC yang terlibat secara aktif dalam inisiatif berkenaan, menunjukkan komitmen mereka kepada perkhidmatan masyarakat serta solidariti.
Dengan menabur khidmat bakti kepada orang lain, JPMC dan SCOT bukan sahaja menangani keperluan segera tetapi juga memperkukuh ikatan dalam organisasi serta masyarakat yang lebih luas.