Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Kira-kira 500 individu telah tersenarai di bawah Skim Kebajikan Negara (SKN) bagi tempoh September hingga November lalu di mana bantuan berkenaan adalah bagi individu-individu kehilangan pekerjaan mahu pun dicutikan tanpa gaji akibat penularan COVID-19 yang melanda negara.
Jumlah itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab situasi permohonan bantuan orang ramai di bawah SKN akibat terkesan daripada pandemik COVID-19 pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Namun jumlah tersebut belum secara keseluruhan kerana masih terdapat dalam kalangan pemohon yang belum selesai menyempurnakan permohonan mereka.
“Dalam pada itu bagi sesiapa yang ingin memohon adalah dialu-alukan, selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan ini,” jelas Yang Berhormat Dato.