Friday, October 25, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    500 karya seni pop di Muzium Tokyo

    TOKYO – Imejnya padat dan warnanya sangat terang. Inilah dunia Keiichi Tanaami seorang perintis seni pop di Jepun.

    Selepas pemergiannya pada usia 88 tahun pada 9 Ogos, dipamerkan di Keiichi Tanaami: Adventures in Memory, sebuah pameran retrospektif berskala besar, sekitar 500 karya mengimbas kembali hasil seninya selama lebih 60 tahun.

    Aktif sebagai pereka grafik dan artis terkenal sejak tahun 1960an, Tanaami dikenali dengan teknik kolaj dan warna yang terang.

    Beliau mengubah pengalaman hidupnya, seperti peperangan dan melawan penyakit, menjadi seni, menggabungkannya dengan visual daripada pelbagai sumber seperti filem, anime dan lukisan klasik serta moden dari pelbagai zaman dan budaya. Beliau juga pernah terlibat dalam penyuntingan majalah bulanan Playboy edisi Jepun.

    “Membuat kolaj adalah sama seperti menyunting majalah. Saya mencari dan mengumpul bahan untuk mencipta satu dunia. Ia sesuai dengan sifat saya,” kata Tanaami dalam temu bual dengan The Yomiuri Shimbun tahun lepas. Pelbagai motif yang luas dapat di seluruh lukisan, arca, video dan pemasangan yang dipamerkan di pameran itu termasuk jet pejuang, UFO, watak buku komik Amerika, peragawati yang dipaparkan dalam lukisan Giorgio de Chirico dan ayam jantan dalam karya Ito Jakuchu.

    Antara motifnya, pokok pain antara yang paling menarik perhatian. Dikatakan bahawa ia berasal daripada halusinasi yang dialami Tanaami akibat kesan sampingan pengambilan ubat kuat ketika beliau dirawat ke hospital kerana batuk kering pada tahun 1981.

    Tengkorak juga muncul dalam kebanyakan karya seninya, yang berpotensi diilhamkan oleh pengalaman perang dan pertempuran dengan penyakit, mencerminkan kepercayaannya sebagai seorang artis bahawa “merasakan kematian yang begitu dekat membawa seseorang kepada kehidupan.”

    Terdapat juga lukisan daripada siri ciptaan semula karya Pablo Picasso, serta kerjasama dengan karya mangaka Fujio Akatsuka.

    Jumlah dan berat karya Tanaami sangat menarik perhatian pengunjung. Selepas pengunjung terpesona dengan karya-karyanya, dunia mungkin kelihatan sedikit berbeza selepas meninggalkan muzium. Pameran itu akan berlangsung hingga 11 November di Pusat Seni Negara, Tokyo di daerah Roppongi. – ANN/Japan News

    Lukisan dan arca berwarna-warni dipamerkan di tempat tersebut. – ANN/Japan News
    Bilik pameran dengan karya yang menampilkan watak oleh mangaka Fujio Akatsuka. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda