Oleh Syahmi Hasssan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Lebih 500 orang ahli keluarga telah menghadiri Majlis Perhimpunan Keluarga Besar Allahyarham Haji Tamat bin Puasa ke-3, Tahun 2023, kelmarin.
Acara yang dihadiri oleh ahli-ahli meliputi 10 buah keluarga besar itu bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim kekeluargaan dalam kalangan mereka.
Semasa acara itu, video pendek mengenai asal usul sejarah awal Kampung Lamunin juga dipamerkan agar ahli-ahli keluarga dan para hadirin dapat mengenali asal usul Kampung itu.
Selain itu, ia juga bertujuan agar pengetahuan itu tidak pupus lebih-lebih lagi daripada golongan generasi baharu.
Video tersebut juga menjelaskan terdapat tiga puak yang mendiami kampung tersebut yang mana mereka hidup bermasyarakat dalam menjalani hidup seharian iaitu puak Kedayan, Dusun dan Tutong.
Di samping itu, acara tersebut juga ada mempamerkan makanan-makanan tradisi dan kraf tangan yang dihasilkan sendiri oleh setiap ahli generasi keluarga Allahyarham.
Dengan adanya pameran tersebut, para hadirin dapat mengenali makanan-makanan tradisi dalam mengekalkan identiti serta keunikan hasil masyarakat kampung itu sendiri dan dapat memupuk minat dan kemahiran kepada generasi baharu bagi meneruskan pembuatan makanan-makanan tradisi tersebut.
Acara juga diserikan dengan persembahan tarian tradisi dan nyanyian daripada ahli-ahli keluarga keturunan tersebut.



