Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    500,000 penduduk Gaza di ambang kebuluran

    ISTANBUL, 26 MEI – Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Cindy McCain kelmarin memberi amaran bahawa seramai 500,000 penduduk Gaza berisiko tinggi mengalami kebuluran, sambil menggesa komuniti antarabangsa menggandakan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan berskala besar, lapor agensi Anadolu (AA).

    Bercakap dalam rancangan Face the Nation terbitan CBS, McCain menyifatkan situasi di Gaza sebagai satu ‘bencana’ dan mengkritik pihak berkuasa Israel kerana hanya membenarkan kemasukan bantuan secara terhad dari Mac hingga pertengahan Mei.

    “Mereka hanya benarkan beberapa trak masuk. Jumlah itu ibarat setitis air berbanding apa yang sangat diperlukan,” katanya.

    Menurut McCain, WFP sebelum ini berjaya membawa masuk sekitar 600 buah trak bantuan setiap hari semasa gencatan senjata terakhir, namun jumlah itu kini merosot kepada sekitar 100 trak sahaja sesuatu yang disifatkannya sebagai ‘jauh daripada mencukupi.’

    Beliau menegaskan keperluan segera untuk meningkatkan penghantaran bantuan: “Kita perlu masuk secara besar-besaran serta dibenarkan memberi makanan kepada penduduk sebelum bencana lebih buruk berlaku.”

    McCain turut menggesa supaya tekanan diplomatik dikenakan ke atas Israel agar bantuan dapat diteruskan.

    “Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyaksikan mereka mati kelaparan tanpa sebarang pengaruh diplomatik dari luar untuk membantu.

    “Mereka benar-benar dalam keadaan sangat terdesak,” katanya. – Bernama

    Para penduduk Palestin menunggu untuk mendapatkan makanan di dapur komuniti di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza pada 24 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda