KOTA KINABALU, 3 MEI – Sebanyak 500,000 penutup hidung dan mulut akan diedarkan ke setiap daerah di Sabah dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata pengagihan akan diselaraskan oleh Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Ahli Parlimen dan Adun kemudian akan mengagihkan kepada para petugas barisan hadapan, keluarga berpendapatan rendah dan murid-murid sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Maximus berkata kira-kira 2.52 juta penutup hidung dan mulut dari kerajaan Persekutuan telah diserahkan kepada kerajaan negeri bulan lepas. – Bernama