Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    504 terima Sijil Taraf Kerakyatan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 504 orang telah mendapat kurnia limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta menerima Sijil Taraf Kerakyatan di Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan ke-39 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan KHEDN serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).

    Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim dalam kata alu-aluannya, berkata seramai 504 orang yang telah mendapat limpah kurnia perkenan Baginda Sultan untuk menjadi rakyat Baginda di bawah bab-bab tertentu daripada Akta Taraf Kebangsaan, Brunei, Penggal 15.

    Beliau berkata pada 2023, JIPK telah dapat mengendalikan dan melaksanakan sebanyak tiga majlis penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan sebelum ini yang telah diadakan pada Februari, Mei dan Julai yang lepas dan kali ini, merupakan kali keempat diadakan.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyempurnakan penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kepada para penerima yang diraikan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Haji Mohd Fadillah meluahkan perasaan amat gembira atas kurnia yang diberikan kepada anaknya menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    ATAS & BAWAH: Antara para penerima Sijil Taraf Kerakyatan yang diraikan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Haji Azmi menyatakan lagi bahawa penerima-penerima Sijil Taraf Kerakyatan berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang memohon taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15 iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) Ujian Bahasa Melayu secara tulis dan lisan, Bab 6(1) iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara
    Brunei dan juga di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei Darussalam.

    Beliau turut menyatakan harapan para penerima Sijil Taraf Kerakyatan akan dapat menghargai pengurniaan itu dengan mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi serta mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam dari semasa ke semasa.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kepada para penerima yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Haji Mohd Fadillah bin Haji Abdul Wahab yang mewakili anaknya, Dayang Nur Syasya Farah Dayana, menyatakan perasaan sebagai seorang ayah, amat gembira atas kurnia yang diberikan kepada anaknya untuk menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah kurnia Baginda bagi anaknya untuk menjadi rakyat Baginda.

    Perasaan syukur dan junjung kasih setinggi-tingginya kehadapan majlis Baginda Sultan juga dilafazkan oleh salah seorang penerima, Awang Mohamed Shalahudeen bin Haji Mohamed Maideen, yang berkhidmat sebagai seorang guru.

    Beliau menyatakan bahawa ia merupakan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata kerana ia merupakan satu impian yang amat indah baginya untuk menjadi rakyat Baginda iaitu rakyat Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda