Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Pasaraneka Kompleks Tamu Tutong, Daerah Tutong dan Tamu Tudung Saji, Daerah Belait, menjadi tumpuan lawatan pemeriksaan mengejut dari Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, baru-baru ini.
Lawatan pemeriksaan mengejut ke atas bangku dan meja jualan merupakan salah satu tindakan penguatkuasaan yang berterusan dalam melindungi hak pengguna dan seterusnya mempromosikan prinsip perniagaan yang telus.
Unit SDT membuat pemeriksaan ke atas penggunaan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perdagangan dan memastikan ia adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Hasil daripada lawatan pemeriksaan tersebut, penguatkuasa Unit SDT telah mendapati sebanyak 51 unit alat sukat dan timbang iaitu 33 unit digunakan di Pasaraneka Kompleks Tamu Tutong dan 18 unit di Tamu Tudung Saji.
Kesemua alat-alat sukat dan timbang berkenaan adalah mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Bab 3 (1) (2).
Sehubungan itu, pembeli juga adalah dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isipadu, ukur panjang dan lebar, mempunyai pelekat pendaftaran yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel: sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.