Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah menyerahkan sumbangan kepada 51 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi kemudahan mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya sepanjang bulan Ramadan yang bakal menjelang.
Penyerahan sumbangan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid itu berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan di ibu negara dan disampaikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan itu ialah penolong-penolong pengarah urusan Yayasan, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan.
Sumbangan kewangan daripada pihak Yayasan itu bertujuan bagi menyemarakkan lagi aktiviti pentakmiran di beberapa buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara dalam usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam.
