Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 APRIL – Seramai 51 pelajar Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut (SMPAPHRSB) yang telah memperoleh lima kepujian dan ke atas untuk Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat O dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi Oktober/November 2024 telah diraikan dalam Majlis Graduasi Kelas Tahun 11 Tahun 2024 di dewan Serbaguna sekolah itu baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Perhubungan Masyarakat, Jabatan Perhubungan Luar dan Komunikasi, di Brunei LNG Sendirian Berhad, Awang Azlan Abdul Aziz, dan dialu-alukan oleh pengetua sekolah, Haji Kamal Bahrin bin Haji Jamal.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Awang Zini bin Haji Manan.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu sekolah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh salah seorang murid dari sekolah berkenaan, Awang Muhammad Azim bin Zaini.
Acara kemudian diikuti dengan bacaan Al-Quran oleh Awang Ahmad Hasyim bin Abdul Rahman dan terjemahannya oleh Awang Muhammad Khairul Syakir bin Mohammad Idris.
Haji Kamal Bahrin seterusnya memberi ucapan menyatakan bahawa sepanjang tahun sekolah itu telah mengadakan pelbagai program seperti sesi Road to O Level, One2One , kelas tambahan pada sebelah petang dan semasa cuti sekolah sebagai antara inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memantau prestasi akademik anak-anak mereka dari semasa ke semasa.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sijil kepada pelajar BTEC (Peringkat 2 Sijil Hospitaliti dan Pelancongan Kembara) oleh Timbalan Pengetua Akademik 2, Dayang Siti Baizura binti Haji Hussin.
Majlis tersebut kemudiannya menyaksikan penyampaian sijil kepada 51 pelajar yang diraikan dan telah disempurnakan oleh pengetua sekolah.
Ia diikuti dengan penyampaian hadiah kepada dua pelajar Comeback Terbaik, penyampaian hadiah dan sijil kepada 10 pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam mata pelajaran masing-masing, serta anugerah kepada setiap guru mata pelajaran masing-masing yang telah mencapai sasaran kebangsaan dan beberapa kategori lain, yang kesemuanya telah disampaikan oleh tetamu kehormat.
Kemuncak majlis berkenaan ialah penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik, yang dimenangi oleh Nur Adelia binti Mohamad Ridzuan setelah berjaya mendapat 3 A, 4 B dan 1 C yang turut disampaikan oleh tetamu kehormat.
Majlis diakhiri dengan penyampaian tanda penghargaan kepada tetamu kehormat oleh pengetua sekolah berkenaan.