BELLA, PAKISTAN, 29 JAN – Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dalam dua kemalangan pengangkutan berasingan di barat Pakistan hari ini apabila sebuah bas terjunam dari jambatan dan terbakar, dan sebuah bot yang membawa kanak-kanak terbalik.
Seramai 41 setakat ini disahkan maut selepas bas mereka terjun ke dalam gaung di barat daya wilayah Balochistan, manakala sekurang-kurangnya 10 pelajar maut apabila sebuah bot karam di barat laut Khyber Pakhtunkhwa, kata pegawai.
Sembilan orang masih hilang, kata polis tempatan, dengan operasi menyelamat sedang dijalankan.
Di tapak terpencil nahas bas, utara bandar Bela di daerah Lasbela, Pegawai Kanan Pentadbiran, Hamza Anjum berkata mangsa belum dapat dikenal pasti.
Sejumlah 40 mayat telah ditemui daripada bangkai bas itu bersama tiga yang cedera, seorang daripadanya meninggal dunia tidak lama kemudian. Baki dua mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P11-1A-paper-web_30012023-1.jpg)
Bas itu dilaporkan membawa seramai 48 penumpang apabila ia melanggar tiang jambatan dan terbabas keluar jalan awal hari ini. Ia telah melakukan perjalanan semalaman antara ibu kota wilayah Balochistan, Quetta dan bandar pelabuhan selatan Karachi.
Di Khyber Pakhtunkhwa, pegawai polis tempatan, Mir Rauf memberitahu AFP semua yang maut setakat ini ditemui dari tasik berusia antara tujuh hingga 14 tahun. Beliau berkata 11 lagi kanak-kanak telah diselamatkan, dengan enam dalam keadaan kritikal.
Bagaimanapun, sembilan lagi kanak-kanak masih hilang dari insiden tersebut. “Operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mangsa,” kata Rauf kepada AFP.
Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih daripada 27,000 orang terbunuh di jalan raya Pakistan pada 2018.
Insiden lemas juga biasa berlaku di Pakistan, apabila kapal yang sudah berusia dan lebih muatan hilang imbangan dan mengakibatkan penumpang jatuh ke dalam air. – AFP