Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 510 anak-anak yatim dari Daerah Tutong telah menerima sumbangan derma dalam Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong hari ini.
Sumbangan derma adalah melalui Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong dan Bank Islam Brunei Darussalam yang disampaikan kepada anak-anak yatim yang berusia 18 tahun yang telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah An-Nisa ayat 36 oleh Penuntut Sekolah Ugama Tutong Kem, Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohamad Aji dan seterusnya bacaan tafsiran ayat oleh Guru Sekolah Ugama Tutong Kem, Ustazah Hajah Noorlaila binti Haji Metussin.
Sumbangan derma ini antara lain bertujuan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tiba.
Majlis seterusnya disertakan dengan penyampaian hadiah kepada tiga penuntut anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 2024 dan dua pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Peringkat ‘A’ Level, ‘O’ Level/IGCSE bagi tahun 2024 bagi Kluster 5, Tutong.
Turut hadir di majlis tersebut ialah para pegawai kanan kerajaan, penghulu mukim, pemangku penghulu mukim, ketua kampung dan pemangku ketua kampung Daerah Tutong.
