Friday, November 29, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    519 peniaga terima manfaat lanjutan diskaun sewa 50 peratus

    LABUAN, 28 NOV – Perbadanan Labuan (LC) mengumumkan lanjutan diskaun sewa bulanan sebanyak 50 peratus untuk penjaja di UTC Pasar Sentral sepanjang tahun 2025, sekali gus memberi manfaat kepada 519 peniaga.

    Timbalan Pengerusi LC, Simsudin Sidek berkata keputusan itu dibuat bagi meringankan cabaran yang dihadapi peniaga yang beroperasi di pasar basah dan kering yang sibuk di pulau tersebut.

    “Kami memahami kesukaran yang dialami penjaja di pasar basah dan kering, serta mereka yang mengendalikan kiosk di UTC Pasar Sentral,” katanya kepada Bernama.

    “Sebagai pihak berkuasa tempatan, kami komited menyokong perniagaan kecil dengan menangani cabaran ini dan memastikan mereka mempunyai akses kepada kemudahan dan infrastruktur yang mencukupi untuk menjana kelangsungan hidup,” katanya.

    Inisiatif itu, yang menelan belanja kira-kira RM435,408, mencerminkan dedikasi LC dalam mewujudkan persekitaran mampan untuk perniagaan kecil.

    Penerima manfaat termasuk peniaga yang menjual sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, pakaian, peralatan dapur dan produk tempatan lain. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda