Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    52 kes pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan dilaporkan

    KUCHING, 9 NOV – Polis Sarawak menerima 52 laporan berkaitan kes sindiket pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan pekerjaan yang menyasarkan rakyat di negeri itu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua laporan itu telah dirujuk ke Bahagian Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

    “Laporan yang kami terima ini adalah dari bahagian Kuching, Sibu dan Miri dengan mangsa telah menghubungi ahli keluarga dan memaklumkan bahawa mereka telah terkandas di Myanmar. Pada awalnya mereka telah dijanjikan untuk bekerja di pusat kasino dan hotel dengan gaji lumayan dalam mata wang Dolar Amerika.

    “Berdasarkan statistik, sebanyak 81 rakyat Sarawak dipercayai telah terkandas di Myanmar akibat penipuan pekerjaan yang tidak wujud ini, 30 orang daripadanya telah berjaya dibawa balik,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Astaka dan Dewan Terbuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

    Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Johan Razak dilaporkan berkata trend ‘memerangkap’ anak Sarawak mula dikesan tahun ini apabila ramai rakyat negeri itu terjebak dan dibawa ke negara seperti Myanmar.

    Beliau berkata ada juga warga Malaysia ke Myanmar tanpa melalui sindiket, tetapi apabila visa lawatan sudah tamat tempoh, mereka mendakwa menjadi mangsa pemerdagangan manusia. – Bernama

    Datuk Mohd Azman (kanan) ceria melihat Timbalannya, Datuk Mancha Ata menunjukkan isyarat satu hari lagi menandakan beliau akan mengambil alih peranan sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu bermula esok pada sidang media selepas perasmian Astaka dan Dewan Terbuka Pesuruhjaya Polis Sarawak kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda