Friday, December 20, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    52 maut dalam dua kemalangan bas di tengah Afghanistan

    KABUL, 19 DIS – Dua kemalangan bas yang melibatkan sebuah tangki minyak dan sebuah trak di lebuh raya di tengah Afghanistan meragut 52 nyawa dan mencederakan 65 mangsa, menurut jurucakap kerajaan Taliban hari ini.

    Kemalangan itu berlaku kelmarin di wilayah Ghazni, di lebuh raya yang menghubungkan ibu negara Kabul dengan bandar Kandahar di selatan.

    Tragedi itu disahkan oleh ketua maklumat dan kebudayaan wilayah, Hamidullah Nisar, di platform X, tanpa menyatakan jumlah korban dan kecederaan bagi setiap kejadian.

    “Kami menerima berita dengan rasa dukacita yang mendalam bahawa dua kemalangan jalan raya maut telah berlaku di Lebuh Raya Kabul-Kandahar, di mana 52 rakyat kita terkorban dan 65 lagi cedera,” kata jurucakap utama kerajaan, Zabihullah Mujahid.

    Sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak berhampiran kampung Shahbaz di tengah Ghazni, manakala satu lagi bas melanggar sebuah trak di daerah Andar di bahagian timur wilayah itu, jelas Nisar.

    Pasukan penyelamat segera ke lokasi dan membawa mangsa cedera ke hospital, dengan beberapa daripadanya berada dalam ‘keadaan serius’, tambahnya.

    Kemalangan jalan raya sering berlaku di Afghanistan, sebahagiannya disebabkan oleh keadaan jalan yang teruk selepas puluhan tahun konflik, pemanduan berbahaya di lebuh raya dan kekurangan peraturan lalu lintas.

    Pada Mac lalu, lebih daripada 20 orang terkorban dan 38 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan tangki minyak dan terbakar di selatan wilayah Helmand. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda