NAIROBI, 2 JULAI – Angka kematian akibat kemalangan jalan raya ngeri di barat Kenya meningkat kepada 52 orang semalam, kata pegawai, ketika penyelamat bekerja untuk membersihkan serpihan daripada salah satu kemalangan jalan raya paling teruk di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebuah trak yang membawa kontena perkapalan melencong dan merempuh beberapa kenderaan lain dan orang ramai yang memenuhi persimpangan tepi jalan yang sibuk pada petang Jumaat, dalam kejadian yang mengejutkan seluruh negara.
Erick Mutai, Gabenor daerah Kericho di mana kemalangan itu berlaku, memberikan angka kematian terkini 52 dan berkata ia termasuk 31 lelaki, 18 wanita dan dua kanak-kanak.
Menteri Pengangkutan, Kipchumba Murkomen berkata semasa lawatan ke lokasi nahas di persimpangan Londiani bahawa langkah keselamatan baharu akan diperkenalkan selepas apa yang disifatkannya sebagai tragedi ‘mengerikan’ dan ‘memilukan’.
“Siasatan telah dilancarkan bagi mengenal pasti punca kemalangan ini tetapi kami menggesa pemandu supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan,” beritahunya kepada pemberita.
Treler itu merempuh kereta persendirian, bas mini, boda boda (teksi motosikal) dan gerai pasar di tepi lebuh raya yang sibuk antara bandar tepi tasik Nakuru dan Kericho, kawasan yang terkenal dengan ladang teh yang subur.
Semalam, ramai orang berada di tempat kejadian, di mana kontena yang terbalik itu tersangkut dalam parit, serpihan berselerak di kawasan yang luas, termasuk tempat duduk kereta, timbunan buah-buahan, gandar rosak dan but hitam. – AFP


