Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    52 pelajar Brunei selamat tiba di Mesir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Seramai 52 pelajar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada 22 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan yang akan melanjutkan pengajian di Republik Arab Mesir telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, kelmarin.

    Ketibaan rombongan pelajar disambut oleh Setiausaha Kedua, Awang Muhammad Raihan bin Abdul Kadir; Ataci (Pelajaran dan Kebudayaan),  Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah; serta Pegawai Kesejahteraan Penuntut, Haji Shahwardy bin Haji Hamdan dari Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.

    Pelajar-pelajar berkenaan akan melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar dan Mahad Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir yang mana sesi pengajian bagi para pelajar berkenaan akan bermula pada awal bulan Oktober ini.

    Gambar beramai pelajar Negara Brunei Darussalam yang melanjutkan pengajian di Republik Arab Mesir. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Daripada jumlah berkenaan, seorang pelajar melanjutkan pengajian melalui penganugerahan Biasiswa Sultan’s Scholar, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; enam orang pelajar melalui penganugerahan Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama; lima orang pelajar melalui Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP); manakala 40 orang lagi melalui pembiayaan persendirian.

    Rombongan pelajar telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan menaiki pesawat Diraja Brunei (Royal Brunei) BI873 menuju ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan dengan menaiki pesawat Qatar Airways ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Qatar dan seterusnya berlepas dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Republik Arab Mesir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda