Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Seramai 52 pemimpin sekolah serta wakil daripada sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dari kluster 4 di bawah Kementerian Pendidikan telah menghadiri sesi Pembarigaan Program-program Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) 2025 yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) kelmarin.
Pada sesi berkenaan, Ketua Pusat STEP, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sesi diteruskan dengan perkongsian mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat STEP termasuk program STEAM dan Inisiatif Hijau serta hubung kaitnya dengan pogram-program yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Sesi itu turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian sijil kepada para penerima STEAM Active School 2024 yang disempurnakan oleh Hajah Suriani. Pengiktirafan berkenaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang giat dan aktif menyertai program-program anjuran Pusat STEP pada 2023 dan 2024.
Penerima STEAM Active School 2024 bagi Kluster 4 dalam kategori sekolah rendah ialah Sekolah Rendah Beribi Telanai manakala bagi kategori sekolah menengah dan pusat tingkatan enam ialah Sekolah Menengah Masin.
Para pemimpin sekolah turut berpeluang untuk bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP. Perbincangan itu bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalami mengenai kandungan dan kepentingan program-program STEAM serta inisiatif hijau yang telah dibarigakan.
Matlamat Pembarigaan Program-program Pusat STEP 2025 adalah untuk membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Pusat STEP dengan para pemimpin sekolah dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan dan menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam perkhidmatan serta program-program yang disediakan Pusat STEP supaya pelaksanaannya berjalan dengan mantap dan berkesan dalam jangka masa panjang.