Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bagi mengetengahkan sukan biliard dan memupuk semangat setia kawan dalam kalangan peminat sukan tersebut, Piala Kalayaan 2024 telah dianjurkan di Akademi Biliard FJ, Kampung Kiulap, baru-baru ini.
Kejohanan yang berformatkan 9 ball handicap itu dianjurkan oleh Kelab Biliard Zargo, di bawah Persatuan Filipina di Brunei Darussalam.
Presiden Kelab Biliard Zargo, Vicente Gavino Cyrus D Cabrera Jr antara lain telah mengongsikan bahawa kejohanan tersebut juga telah diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Republik Filipina yang ke-126.
Kejohanan tahun ini telah disertai oleh seramai 52 peserta dari Negara Brunei Darussalam, serta warga Malaysia dan Filipina yang menetap di sini.
Pada peringkat separuh akhir, Pengiran Mohd Faiq Hafizuddin bin Pengiran Haji Jalaludin, Awang Mohd Hadie bin Haji Marsidi, Haji Mohd Khairuddin bin Haji Hasnan dan Manassawee Leo Yong telah mempamerkan teknik permainan yang mengagumkan.
Pada peringkat akhir, Manassawee Leo Yong telah menewaskan Pengiran Mohd Faiq Hafizuddin dengan mata 9-6, sekali gus menjadikan beliau sebagai juara dan Pengiran Mohd Faiq Hafizuddin sebagai naib juara.
