Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Bagi memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai budaya dan tradisi Brunei, seramai 522 murid daripada Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebudayaan sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ke-79 di dewan TASKA kelmarin.
Antara lain objektif majlis berkenaan adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan kebanggaan terhadap warisan budaya negara, dan menyokong kempen Kenali Negara Kitani dengan memperkenalkan elemen budaya kepada generasi muda.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardie, guru ugama latihan mengajar dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dan lagu sekolah berkenaan.
Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Dayang Siti Afshah binti Abu Bakar yang juga Pegawai Kewangan Kanan YSHHB.
Turut hadir di majlis adalah Pengetua dan Penolong Pengetua TASKA YSHHB, guru-guru, pembantu guru serta kakitangan TASKA.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Dayang Siti Afshah dan diikuti sesi bergambar ramai bersama para peserta dan tetamu kehormat.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN TASKA YSHHB