528 panggilan kecemasan akibat cuaca aktif tahun ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah merekodkan sebanyak 528 panggilan kecemasan disebabkan cuaca aktif yang dialami negara ini sehingga 25 Oktober lalu, dengan hujan dan ribut petir meningkatkan jumlah turunan hujan.

Menurut kenyataan dikeluarkan JBP di sini hari ini, daripada 528 panggilan itu, 13 panggilan adalah bagi atap terbang; 72 bagi kejadian tanah susur; 407 panggilan bagi kejadian pokok tumbang dan sebanyak 36 panggilan bagi bantuan menimba air.

JBP mengingatkan bahawa kepekaan orang ramai dari semasa ke semasa amat penting dan mengetahui aspek-aspek keselamatan dan persediaan mengenainya adalah langkah-langkah yang terbaik untuk keselamatan bersama.

Orang ramai juga disarankan tidak membuat aktiviti diluar, tidak keluar rumah atau memandu semasa hujan lebat jika tidak ada keperluan yang sangat penting dan jika terperangkap dalam keadaan cuaca buruk, mencari tempat yang selamat untuk berhenti.

Tanah susur adalah berkaitan dengan keadaan turunan hujan yang berpanjangan. Untuk keselamatan, jika kedudukan rumah mereka berada di atas, di lereng atau bawah bukit, mereka perlu memantau keadaan kawasan atau tanah sekeliling rumah, sentiasa bersedia untuk sebarang tindakan jika mendapati terdapat hakisan tanah yang mula menampakan keruntuhan dan untuk keselamatan tinggalkan atau kosongkan rumah jika ia membahayakan nyawa.

Jika belaku angin kencang, orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah atau memandu semasa angin kencang dikhuatiri pokok tumbang dan ada objek-objek yang diterbangkan angin dan terkena pada kenderaan semasa memandu serta tidak berhenti atau meletakkan kenderaan awda di kawasan yang berisiko seperti pokok, tiang elektrik, atau mana-mana objek yang tinggi.

Banjir sering kali terjadi bila musim hujan tiba terutama di kawasan rendah dan mudah banjir serta kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Oleh itu orang ramai disarankan supaya sentiasa memantau keadaan paras air di luar kawasan rumah, bersedia menghadapi situasi banjir terutama kawasan rendah dan mudah banjir, menyelamatkan harta benda ke tempat yang lebih tinggi termasuk nyawa dan dokumen-dokumen penting, jangan bermain atau keluar di kawasan yang dilanda banjir teruk dan jangan hampiri kawasan longkang besar atau tiang elektrik serta untuk mengawasi keberadaan anak-anak awda semasa dalam keadaan banjir.

Orang ramai hendaklah segera menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat bagi sebarang kecemasan.

Gambar fail insiden pokok tumbang di Kampung Gadong Baru Temburong, baru-baru ini.