Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    529 graduan LCB dirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seramai 529 orang pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) telah diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian mereka pada Majlis Konvokesyen LCB bagi 2024 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Majlis itu akan memberikan penghormatan kepada pencapaian pelajar dari pelbagai program termasuk yang bergabung dengannya iaitu University of Essex, United Kingdom (UK); University of Chester, UK; Pengajian Sijil Pearson BTEC; Kolej Perdagangan Kensington; dan Program City and Guilds.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Para graduan yang diraikan adalah pelajar yang menamatkan pengajian mereka terdiri dari Foundation Law; Airline Hospitality Business (AHB); Diploma dalam Seni Kulinari; Pengkomputeran; Perniagaan; Pelancongan dan Hospitaliti dari University of Essex, UK dan program-program ijazah University of Chester, UK.

    Pada majlis konvokesyen tahun ini turut menyaksikan seramai 21 orang graduan menerima ijazah kelas pertama bagi keseluruhan program-program ijazah di LCB termasuklah program-program ijazah dari kedua-dua buah universiti di University of Essex dan University of Chester.

    Turut hadir ialah Pengarah dan Pengetua LCB, Ian Pirie; Pengarah Abdul Razak Holdings, Haji Suhaimi Besar; Timbalan Pengetua LCB, S Sivarajah; Ketua Jabatan Sains Komputer dan Pensyarah University of Chester, Andrew Muncey; Pengarah Fakulti Perkongsian dan Pensyarah Kanan, Essex Law School, University of Essex, Dr Konstantinos Kalliris; Pemangku Naib Canselor University of Essex, Profesor Maria Fasli melalui talian video; jemputan-jemputan khas, para pensyarah, kakitangan dan pelajar LCB.

    Majlis berkenaan turut menyerlahkan perkongsian liku-liku perjalanan meniti pengajian ke arah kecemerlangan akademik dan profesional graduan menerusi penyampaian ucapan istimewa tamat pengajian daripada empat orang pelajar LCB terpilih yang mencapai keputusan kelas pertama antaranya salah seorang graduan Diploma Tahap 2 dalam Seni Kulinari – Patisserie, Ana Paula Maria Mok Guterres selaku isteri Duta Besar Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam; graduan Sarjana dalam Pengurusan, Haji Muhammad Fahmi bin Lasa; dan graduan Ijazah dalam Pemasaran, Ayoung Lee.

    LCB berbangga dengan adanya lingkungan komuniti yang pelbagai, dan para graduan tahun ini termasuk golongan tempatan dan juga antarabangsa jelas mempamerkan pencapaian global dan komitmen kolej untuk menyediakan pendidikan berkualiti.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil kepada para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Graduan LCB dengan bangga menunjukkan sijil-sijil yang diterima pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda