Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seramai 53 peserta terdiri dari pegawai dan kakitangan Syarikat Takaful Brunei Sdn Bhd, hari ini, telah menghadiri kursus pengurusan jenazah siri ke dua yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Kursus Pengurusan Jenazah merupakan platform penting dalam memperkukuh pengetahuan dan kemahiran masyarakat Islam bagi melaksanakan tuntutan fardu kifayah selaras dengan hukum syarak.
Ia turut memupuk kesedaran, rasa tanggungjawab bersama serta memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan tertib, sempurna dan penuh penghormatan.
Bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan jenazah mengikut ketetapan hukum syarak, di samping melahirkan individu yang berkemahiran dan cekap dalam melaksanakan penyempurnaan jenazah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Bahagian Imarah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, dengan kerjasama Syarikat Takaful Brunei Sdn Bhd telah menganjurkan kursus berkenaan.
Kursus ini dikendalikan secara berkala sebanyak dua kali sebulan dan dijalankan sepanjang tempoh dua bulan ini antara lain bertujuan untuk menyelaras pelaksanaan kerja-kerja pengurusan jenazah serta mengenal pasti dan membetulkan amalan-amalan khurafat yang berkaitan dengan kematian.
Antara pengisian kursus tersebut mengekalkan modul seperti sesi pertama sebelum ini, merangkumi tazkirah pengurusan jenazah oleh Imam Masjid Kampung Pulaie Awang Haji Muhammad Nuralif bin Haji Talip,diikuti dengan latihan praktikal bagi peserta lelaki.
Sesi peserta perempuan pula dipimpin oleh Dayang Hajah Rosmawati binti Haji Ismail dan Dayang Noradiana binti Haji Jumat. Selain itu, semua peserta turut dibimbing dalam latihan praktikal penyempurnaan solat jenazah.
Kursus seumpama ini akan diteruskan lagi pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan mengikut jadual.





