Thursday, January 23, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    530 panggilan kebakaran hutan setakat Mac

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Sebanyak 530 panggilan yang melibatkan kebakaran hutan dan belukar telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sejak awal tahun 2024 sehingga kini yang melibatkan kawasan seluas 584 hektar seluruh negara.

    Pada bulan Januari sehingga 20 Mac 2023 sahaja, jumlah panggilan kebakaran hutan dan belukar yang direkodkan adalah sebanyak 47 sahaja.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP hari ini, menjelaskan peningkatan jumlah panggilan kebakaran hutan dan belukar adalah berpunca keadaan cuaca panas dan suhu kering yang dialami oleh negara ini.

    Kejadian kebakaran hutan atau rumput yang dialami ini juga telah mendorong kepada pencemaran kualiti udara di sebahagian kawasan di negara ini yang boleh menjejaskan kesihatan serta penglihatan kepada pengguna-pengguna jalan raya atau pengangkutan disebabkan asap tebal dan berjerebu.

    Ke arah keberkesanan operasi pemadaman di kawasan kebakaran hutan dan rumput, pihak JBP telah meningkatkan aktiviti rondaan dan pemantauan ke kawasan-kawasan yang sering terjadi kebakaran hutan dan belukar yang antara lain dengan penggunaan dron dan firebike.

    Anggota bomba semasa melakukan kerja memadam kebakaran hutan. – GAMBAR SERAHAN JBP
    GAMBAR SERAHAN JBP

    Di samping itu, pihak jabatan akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak kepentingan dalam memastikan infrastruktur pili bomba dalam keadaan baik dan juga kesiapsiagaan sebarang bantuan logistik di dalam pengoperasian pemadaman berkenaan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar jangan membuat pembakaran terbuka yang boleh melarat dan mengakibatkan kebakaran besar khusus semasa musim panas dan kering ini.

    Selain itu pastikan belukar atau lalang di kawasan rumah atau bangunan di potong untuk menggelakkan api merebak dengan cepat dan tidak membiarkan bahan-bahan mudah terbakar seperti minyak terdedah kepada cahaya matahari yang boleh menyebabkan kebakaran.

    JBP turut mengingatkan agar berhati-hati dengan persekitaran rumah, memandangkan musim kemarau dan panas ini.

    Binatang atau serangga berbisa akan mencari tempat untuk berlindung daripada kebakaran hutan dan belukar.

    Selain itu orang ramai disarankan untuk membantu memadam kebakaran hutan atau belukar yang kecil tanpa membahayakan diri sendiri.

    Orang ramai boleh menghubungi JBP melalui talian 995 jika melihat tanda-tanda kebakaran hutan atau rumput serta sebarang kecemasan dan menghubungi Talian Darussalam 123 bagi aduan jika terdapat mana-mana orang yang melakukan pembakaran terbuka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda