MANILA, 12 FEB – Jumlah kematian akibat tanah runtuh besar yang melanda sebuah perkampungan perlombongan emas di selatan Filipina telah meningkat kepada 54 orang dengan 63 orang masih hilang, kata pihak berkuasa kelmarin.
Tanah runtuh melanda perkampungan pergunungan Masara di wilayah Davao de Oro pada malam Selasa selepas hujan lebat berminggu-minggu.
Kerajaan wilayah Davao de Oro berkata dalam catatan Facebook bahawa 54 mayat telah ditemui. Sekurang-kurangnya 32 penduduk terselamat dengan kecederaan tetapi 63 masih hilang, katanya. Antara yang hilang ialah pelombong emas yang menunggu dalam dua bas untuk dibawa pulang apabila tanah runtuh melanda dan menimbus mereka.
Operasi mencari telah dihalang oleh cuaca buruk dan kebimbangan lebih banyak tanah runtuh. Lebih 1,100 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan untuk keselamatan mereka, kata pegawai respons bencana.
Kawasan itu telah dibanjiri oleh hujan lebat dalam beberapa minggu sebelum tanah runtuh melanda. Gempa bumi juga merosakkan rumah dan bangunan di wilayah itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata pegawai. – AP


