Oleh Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli
TUTONG, 29 Mei – Sebanyak 54 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan dari beberapa buah kampung di Daerah Tutong dan Belait telah menerima sumbangan kewangan dan makanan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam program amal bersempena bulan Ramadan, pagi tadi.
Di Daerah Tutong, majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di Masjid Kampung Penanjong di mana sebanyak 35 buah keluarga menerima sumbangan.
Hadir bagi menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku penghulu Mukim Tanjong Maya dan Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.
Sementara itu, di Daerah Belait, majlis diadakan di Dewan Serba Guna Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), Lumut di mana sebanyak 19 buah keluarga menerima sumbangan yang telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.


Penolong Pegawai Penyelaras Sukarelawan selaku Penyelaras Sumbangan Yayasan, Dayang Sufinah binti Haji Sulaiman ketika ditemu bual memberitahu, sejumlah $21,700 telah disumbangkan bagi penerima-penerima di Daerah Belait.
Sumbangan adalah dalam bentuk hamper kuih-muih Hari Raya dan juga kewangan bagi keperluan asasi.
Menurutnya sumbangan tersebut merupakan projek tahunan Yayasan bagi membantu kalangan warga emas, ibu-ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan bantuan di seluruh negara dan.
“Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berharap dengan adanya bantuan seperti itu diharapkan akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dalam menyambut Ramadan ini dan seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Selaras dengan dasar penubuhan Yayasan dalam memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk yang memerlukan bantuan di negara ini, sumbangan berkenaan bertujuan bagi membantu mereka dalam menyediakan keperluan keluarga pada bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Beberapa orang penerima di Daerah Belait yang sempat ditemui, melahirkan rasa gembira dan syukur ke hadrat Allah S.W.T serta menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sumbangan tersebut.