CHONGQING, 29 DIS – Seramai 54 individu, termasuk 19 warga asing, menerima sijil kemahiran vokasional sebagai tukang masak hotpot pada Jumaat, menjadikan mereka kumpulan profesional pertama diiktiraf secara rasmi untuk pekerjaan tersebut di China.
Individu-individu itu, termasuk peserta dari Poland, Pakistan, dan Ghana, dianugerahkan sijil pada pelbagai peringkat selepas berjaya lulus ujian memasak sebelum ini.
Majlis Pelancaran Pensijilan Kemahiran Antarabangsa Jalur dan Laluan telah diadakan di Chongqing, barat daya China, sebagai usaha meningkatkan standard industri makanan.
“Saya berasa gembira kerana lulus peperiksaan pensijilan dan menerima sijil sebagai tukang masak hotpot peringkat junior,” kata seorang pelajar Poland di Sekolah Ekonomi dan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Chongqing, Claudia Katarzyna Bzyl.
Bzyl menambah bahawa melalui latihan sistematik, dia kini memahami budaya makanan hotpot Chongqing dengan lebih mendalam dan semakin menyukainya.
“Saya bercadang untuk terus belajar dan membuka restoran hotpot Chongqing di Poland agar orang ramai dapat menikmati cita rasa asli Chongqing,” katanya.
Peranan tukang masak hotpot secara rasmi diiktiraf dalam edisi 2022 kod klasifikasi pekerjaan China. Pada Februari lalu, Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial bersama Kementerian Perdagangan China menerbitkan standard terperinci, termasuk definisi pekerjaan, tahap kemahiran, dan keperluan latihan vokasional. – Xinhua