Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Bot pelancongan inovatif daripada sisa tasik

    LUZIRA, UGANDA – Tanaman berbunga muncul seolah-olah dengan kuasa ajaib dari Tasik Victoria dalam sebuah bot kayu, memberikan suasana berdaun lebat yang mempesonakan ramai pengunjung.

    Daya tarikan awal lebih menambat hati apabila pelancong ke Uganda mendapat tahu tumbuh-tumbuhan hijau tersebut muncul daripada projek kitar semula inovatif yang menggunakan ribuan botol plastik yang diselaputi kotoran untuk mengukuhkan bot tersebut.

    “Mantan pemandu pelancong, James Kateeba mula membina bot tersebut pada tahun 2017 sebagai respons kepada bertan-tan sisa plastik yang dilihatnya di tasik selepas hujan lebat.

    Beliau menyedari bahawa kapal tersebut boleh digunakan sebagai contoh perniagaan lestari di pinggir Tasik Victoria: sebuah restoran dan bar terapung yang boleh dibiarkan hanyut untuk tujuan santai dan hiburan.

    Ramai yang datang ke sini untuk bersantai di Luzira, sebuah kawasan tepi tasik di ibu negara Uganda, Kampala, tidak mengetahui sejarah bot tersebut. Kateeba menegaskan bahawa ia adalah ‘usaha pemuliharaan’ terutamanya projek seorang lelaki untuk melindungi salah satu tasik besar Afrika daripada pencemaran.

    Sebuah restoran dan bar terapung kelihatan dari udara di Tasik Victoria berdekatan kawasan Luzira, Kampala, Uganda. – AP
    Pemilik James Kateeba bercakap kepada pelanggan di restoran terapungnya di Tasik Victoria. – AP
    Seorang pekerja menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian pada struktur restoran terapung. – AP
    Seorang wanita berdiri di pintu masuk ke restoran terapung di Tasik Victoria. – AP

    Sebuah restoran berlabuh di tanah besar di Tasik Victoria, Uganda. – AP

    Tasik Victoria adalah tasik air tawar kedua terbesar di dunia dan menjangkau tiga negara. Namun ia dibelenggu pembaziran sisa toksik dan pencemaran lain, perlombongan pasir dan kekurangan paras air yang disebabkan oleh perubahan iklim.

    Lapisan-lapisan sisa plastik terapung berdekatan beberapa pantai semasa musim tengkujuh, tanda-tanda jelas pencemaran yang menimbulkan kebimbangan komuniti nelayan yang sangat bergantung pada tasik tersebut.

    “Memandangkan kami mempunyai masalah pencemaran sebagai sebuah negara… Saya memutuskan untuk mencipta sesuatu yang luar biasa,” ujar Kateeba sambil meninjau pinggir tasik yang diwarnai bahan hijau yang menunjukkan kandungan tercemar dari kilang arak berdekatan.

    Dia bermula dengan meminta nelayan dari kawasan darat berdekatan untuk mengumpul botol-botol plastik dengan bayaran kecil. Dalam tempoh enam bulan, dia menerima lebih daripada 10 tan botol. Setiap set botol diikat dengan jala atau pukat dan disapu dengan kotoran pejal, membentuk asas kukuh di mana bot ditambat selain menjadi tanah subur untuk tumbuhan tropika yang menjalar.

    Hari ini, kapal tersebut, dipasarkan sebagai Pulau Terapung, boleh menampung 100 pengunjung dengan selesa pada satu-satu masa, kata Kateeba.

    “Ini adalah bunga seri pagi,” ujar Kateeba dengan bangganya, sambil membelai pokok bunga menjalar pada satu petang baru-baru ini ketika dia bersiap untuk melepaskan kapal bagi keseronokan pelanggannya. Di tempat lain di kapal, sekumpulan remaja mengambil gambar TikTok sambil menari. Di tingkat atas pula, seorang tukang kayu sedang membina geladak matahari kayu baharu.

    Jaro Matusiewicz, seorang ahli perniagaan yang melawat dari Greece, berkata bahawa dia ‘tidak pernah melihat tempat seperti ini,’ memuji suasana yang ‘selesa’ dalam kapal ketika dia menikmati sajian ikan dan kentang goreng.

    “Ini adalah idea yang sangat baik,” katanya. “Jika dia mengumpul botol dan menggunakannya, ia sungguh hebat! …Kamu tidak hanya membersihkan alam sekitar tetapi juga menyediakan sesuatu yang unik, amat unik.”

    Projek serupa dilancarkan pada tahun 2018 di pantai-pantai Kenya, di mana sebuah bot kecil yang dikenali sebagai Flipflopi dibina sepenuhnya daripada plastik kitar semula yang pernah menjadi sampah di pantai berpasir dan bandar-bandar sepanjang Lautan Hindi.

    “Pada tahun 2021, Flipflopi melakukan pelayaran di Tasik Victoria ‘untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran yang melanda ekosistem air tawar paling penting di rantau tersebut,” menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Kateeba berkata dia berharap kapalnya akan menjadi satu contoh yang baik.

    “Saya yakin, dengan sedikit pengalaman yang kami peroleh daripada projek ini, kami sepatutnya dapat menggalakkan orang lain untuk mereka sesuatu,” katanya.

    “Menerusi kaedah lain, tidak semestinya jenis ini… untuk mencuba menangani pencemaran plastik di Tasik Victoria.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...