SANDAKAN, 9 Feb – Seramai 55 belia hari ini menyertai program membersihkan Pantai Pasir Putih di sini, menerusi Program Komuniti Belia Prihatin Alam Sekitar.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Ahmad Saparudin Yusup berkata golongan belia yang terlibat itu dari Kampung Istimewa, Bakau dan Cenderamata serta daripada Angkatan Belia Islam Malaysia Sandakan.
Katanya program tersebut adalah anjuran MBM dengan kerjasama Majlis Belia Sabah serta Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau berkata program itu adalah untuk mengumpulkan sukarelawan yang berdaftar di bawah Komuniti Sukarelawan Belia 1Malaysia (MyVOC).
“Penganjuran program ini bagi melahirkan sukarelawan yang mempunyai sifat sayang kepada alam sekitar dan melahirkan belia yang aktif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu yang disempurnakan Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Belia Sabah Ahmad Zikri Zainudin.
Ahmad Saparudin berkata selain dapat memberi kesan yang positif terhadap alam sekitar, ia dapat menggalakkan amalan menjaga kebersihan dalam kalangan belia. – Bernama