Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    55 cedera dalam insiden letupan di masjid Indonesia

    JAKARTA, 7 NOV – Beberapa letupan menggegarkan sebuah masjid di sebuah sekolah menengah ketika solat Jumaat di Jakarta, bandar Indonesia, menyebabkan kira-kira 55 orang cedera, kebanyakannya pelajar, menurut pihak polis.
     
    Saksi memberitahu stesen televisyen tempatan, mereka terdengar kira-kira dua letupan kuat sekitar tengah hari, tepat ketika khutbah bermula di sebuah masjid, SMA 27, sebuah sekolah menengah kerajaan yang terletak dalam kawasan tentera laut di kawasan Kelapa Gading, Jakarta Utara. 
     
    Pelajar dan orang ramai berlari panik apabila asap kelabu memenuhi masjid.
     
    Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan ringan hingga teruk akibat serpihan kaca. Punca letupan belum diketahui, tetapi ia berasal dari kawasan berhampiran pembesar suara masjid, menurut Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri.
     
    Orang ramai dibawa ke hospital berhampiran. Ada yang dibenarkan pulang tidak lama kemudian, tetapi 20 pelajar masih dirawat di hospital, tiga daripadanya mengalami kecederaan serius, kata ketua polis itu.
     
    Suheri berkata, satu pasukan anti-bom yang dikerahkan ke lokasi menemui senapang mainan dan sebuah pistol mainan berhampiran masjid.
     
    “Polis masih menyiasat di lokasi untuk menentukan punca letupan,” kata Suheri, sambil menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi, kejadian itu adalah serangan sehingga siasatan polis selesai.
     
    “Biarkan pihak berkuasa bekerja dahulu,” kata Suheri. “Kami akan menyampaikan apa sahaja hasil siasatan kepada orang ramai.” – AP
     
    Para pegawai polis dan anggota tentera berdiri mengawal di pagar sebuah sekolah tempat letupan berlaku di Jakarta, Indonesia pada 7 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda