Tuesday, February 11, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    55 maut selepas bas terjunam ke dalam gaung

    BANDARAYA GUATEMALA, 11 FEB – Kira-kira 55 orang terbunuh di Guatemala kelmarin apabila sebuah bas merempuh pagar pengadang dan terjunam ke dalam gaung, kata pihak berkuasa, salah satu kemalangan jalan raya paling teruk di Amerika Latin sejak beberapa tahun lalu.

    Bas itu membawa kira-kira 70 orang semasa ia jatuh ke dalam sungai yang tercemar dengan kumbahan di Bandaraya Guatemala, menyebabkan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mencapai mayat mangsa.

    “Setakat ini, 53 orang maut di tempat kejadian,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya, Moises Ortiz, kepada pemberita.

    Manakala, dua lagi meninggal dunia selepas mereka dimasukkan, bersama beberapa yang lain ke Hospital San Juan de Dios, kata jurucakap, Marlyn Perez.

    Mayat yang ditemui di tapak kejadian itu dibawa ke bilik mayat di balai raya berhampiran.

    Rosa Lopez berkata kepada pemberita bahawa empat orang anak saudaranya dipercayai berada di dalam bas itu.

    “Apabila kami mendengar tentang kemalangan itu melalui berita, kami terus ke sini,” kata lelaki berusia 48 tahun itu.

    Penumpang yang cedera dibawa ke hospital, kebanyakannya dalam keadaan serius.

    Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, menyatakan kesedihannya atas tragedi itu dan mengisytiharkan negara tersebut untuk berkabung dalam tempoh tiga hari. – AFP

    Anggota bomba bekerja di tempat kejadian kemalangan di mana sebuah bas terjatuh ke dalam gaung di Bandaraya Guatemala pada 10 Februari lalu. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda