Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    55 murid khatam Al-Quran dirai

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 30 Julai – Seramai 55 orang murid Darjah 6 terdiri daripada 28 orang murid lelaki dan 27 orang murid perempuan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (PAP) Norain telah diraikan dalam majlis khatam Al-Quran, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Abdul Mumin bin Haji Abdul Razak. Turut hadir ialah guru besar sekolah berkenaan, Hajah Noraisah binti Haji Musa.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas dan diikuti dengan bacaan surah ayat-ayat lazim oleh murid-murid yang diraikan.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 3 hingga 5 sekolah berkenaan manakala itu, Doa Khatam serta Dikir ‘Ash Rakal dibacakan oleh murid-murid lelaki Darjah 3 hingga 5.

    Murid-murid Darjah 6 Sekolah Ugama PAP Norain semasa majlis khatam Al-Quran yang diadakan baru-baru ini.

    Majlis disusuli lagi dengan merenjis minyak wangi dan penyampaian sijil serta bunga telur oleh tetamu khas dan diikuti oleh para jemputan dan ibu bapa sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh salah seorang guru, Awang Mohd Azmi bin Haji Mohd Alinor.

    Antara tujuan majlis adalah bagi memberi dorongan dan galakan kepada murid-murid di sekolah berkenaan untuk terus berusaha mempelajari serta menghayati Al-Quran sehingga mereka tamat (khatam) 30 juzuk Al-Quran sebelum mereka menamatkan persekolahan agama di samping bagi mengeratkan silaturahim antara pihak sekolah dan penjaga murid.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda