Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 21 APRIL – Sebanyak 56 pain darah telah dikumpul sebagai sebahagian daripada kempen derma darah anjuran bahagian Art of Living (AoL) di Kelab Panaga, dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Outpost Brunei dan Panaga Health, kelmarin.
Seramai 72 individu menghadiri kempen tersebut dan 56 daripada mereka berjaya menderma satu pain darah.
Selain derma darah, satu siri pameran juga dianjurkan oleh Panaga Health, yang turut menyertai inisiatif itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai vaksinasi dan imunisasi.
Sementara itu, petugas kesihatan turut memberikan maklumat dan menjawab persoalan orang ramai mengenai penjagaan kesihatan pencegahan.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua penderma serta para sukarelawan dari AoL, Outpost Brunei, Kelab Panaga dan Panaga Health yang telah bertungkus-lumus menjayakan kempen berkenaan.
Kempen tersebut bukan sahaja berjaya dalam aspek kutipan darah, malah telah menyerlahkan semangat kolaboratif masyarakat Panaga dalam mengutamakan kesejahteraan komuniti dan kesihatan fizikal secara menyeluruh.