Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    56 pemimpin sekolah hadiri pembarigaan program Pusat STEP

    Oleh Sim Y. H. –

    BELAIT, 6 FEB – Seramai 56 orang pemimpin sekolah serta wakil dari sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam (PTE) dari kluster 5 di bawah Kementerian Pendidikan telah menghadiri sesi Pembarigaan Program-program Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) 2025 yang berlangsung di Politeknik Brunei Kampus Lumut, hari ini.

    Pada sesi berkenaan, Pegawai Pelajaran Kanan dari Pusat STEP, Awang Misli bin Moksin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

    Sesi diteruskan dengan perkongsian mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat STEP termasuk program STEAM dan Inisiatif Hijau serta hubung kaitnya dengan program-program yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    Sesi itu turut menyaksikan pengumuman dan penyampaian sijil kepada para penerima STEAM Active School 2024 yang disempurnakan oleh Awang Misli. Pengiktirafan berkenaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang giat dan aktif menyertai program-program anjuran Pusat STEP pada 2023 dan 2024.

    Penerima STEAM Active School 2024 bagi Kluster 5 dalam Kategori Sekolah Rendah ialah Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II manakala bagi Kategori Sekolah Menengah dan PTE ialah PTE Tutong.

    Awang Misli menyampaikan sijil kepada wakil Sekolah Rendah Perpindahan Kampung Bukit Beruang II pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTRIAN PENDIDIKAN

    Para pemimpin sekolah turut berpeluang bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP. Perbincangan itu bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalami mengenai kandungan dan kepentingan program-program STEAM serta inisiatif hijau yang telah dibarigakan.

    Melalui sesi berkenaan, diharapkan para pemimpin sekolah dapat memahami dengan lebih jelas tahap pelaksanaan program STEAM dan inisiatif hijau di sekolah masing-masing.

    Pembarigaan Program-program Pusat STEP 2025 bermatlamat untuk membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Pusat STEP dan para pemimpin sekolah.

    Inisiatif itu juga dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan dan menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam perkhidmatan serta program-program yang disediakan Pusat STEP, bagi memastikan pelaksanaannya di peringkat sekolah berjalan dengan mantap dan berkesan dalam jangka masa panjang.

    Sesi berkenaan turut disampaikan kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan wakil dari semua kluster di bawah Kementerian Pendidikan serta akan dilaksanakan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda