Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Seramai 56 orang peserta iaitu 12 peserta lelaki dan 44 peserta perempuan daripada kalangan mualaf yang menyertai Skim Bimbingan Lanjutan II di bawah Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah menamatkan Kursus Skim Kefahaman Al-Quran (Khas Mualaf) 2024 yang diadakan bermula 17 hingga 21 September di Dewan Persidangan, PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Kursus tersebut diungkayahkan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, KHEU dengan kerjasama PDI.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Penolong Pegawai Ugama, PDI, Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid. Acara disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PDI, KHEU, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil oleh tetamu kehormat kepada fasilitator kursus iaitu Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Hilman bin Haji Salim.
Antara perisian kursus termasuk penerangan konsep ibadat dan kaitannya dalam hubungan di antara Khalik (Allah/Pencipta) dan makhluk (hablum minallah); kepentingan dan peranan sembahyang dalam kehidupan Muslim; puasa dan peranannya dalam pembentukan sahsiah Muslim; zakat dan hubungannya dalam pembangunan sosial; dan haji sebagai pernyataan kebesaran Allah SWT dan muktamar agung kaum Muslimin.
Objektif kursus adalah bagi memartabatkan kedudukan Al-Quran sebagai sumber hukum perundangan Islam yang pertama di samping meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memahami kandungan Al-Quran dalam berbagai aspek serta memberikan maklumat yang tepat terhadap berbagai isu dan salah tanggapan mengenai kandungan Al-Quran pada era globalisasi.
Ia juga bertujuan untuk menyiapkan generasi penerus berjati diri yang dapat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam secara utuh bersumberkan Al-Quran dan sunnah dalam segala aspek kehidupan.