Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebanyak 56 unit alat sukatan dan timbangan telah didaftarkan semasa Perkhidmatan Pengujian Mudah Alih ke atas alat sukatan dan timbangan yang dijalankan oleh Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi di tiga tempat di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, perkhidmatan dilaksanakan di Pasar Gadong, Pasar Tani Selayun dan Tamu Kianggeh pada 22, 24 dan 26 Ogos lalu.
Perkhidmatan berkenaan dilaksanakan sebagai inisiatif berterusan bagi menerapkan kaedah pendekatan mudah dan mesra pelanggan dalam menjaga hak pengguna.
Ia juga sebagai usaha mempromosikan prinsip perniagaan yang telus dalam memastikan sebarang aktiviti sukat dan timbang yang bertujuan untuk perdagangan adalah mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) 1994.